faisyacintaku2005

skyhacker's

My photo
A Simple Thought Can Lead To A Changes!

Hanya Di Hatiku...



Andai malamku tanpa kamu di sisiku
Intanku pasti pudar seakan tak bernyawa..
Sepi yang menjadi selimutku
Yang menjerut tubuhku hingga
Akurlah jiwa-jiwa yang kaku

Zikirku memuja pemilik alam
Agar diberi aman dalam rahmatNya
Ku kuntumkan bunga doa-doaku
Indah ku talungkan bergema menyimbah cahaya
Agar dirimu tidak terasa gelora duga dilaluan langkah harimu.







Kata-kata Yang Baik Itu Juga Akhlaq


Tidak kira samaada wasilahnya lidah atau jari-jemari ia tetap diistilahkan sebagai berkata-kata. Kedua-duanya tetap bermula dari hati. Hati yang jernih, cenderung menuturkan kata-kata yang menyenangkan. Manakala hati yang dicemari simptom-simptom berunsur negatif, seringkali cenderung menuturkan bicara kesat dan menyesatkan.
Semoga kita dijauhkan daripada gejala-gejala tidak sihat itu.
Entah berapa juta kali sepanjang hidup kita jika dihitung secara kasar, kita terlibat dengan maksiat hati dan mulut ini. Baik kata-kata itu berupa kata nista, adu-domba, umpatan, kejian, makian, dusta dan sebagainya. Dan setiap kali dituturkan, ia laju bagai air deras dari hulu ke hilir. Tak tersekat lagi.
Empangan untuk menyekat aliran deras itu, tidak lain tidak bukan ialah AKHLAQ. Ilmu akhlaq ini bukan ilmu picisan yang boleh diperolehi di kaki lima jalan. Tidak. Bahkan ilmu (Juga digelar ilmu tasawuf) ini melibatkan pembentukan jiwa yang bening, perlakuan dan perbuatan mengikut acuan yang dipamerkan Baginda Rasulullah SAW. Akhlaq mulia ini punya arus elektrik yang mampu mengecas cahaya iman. Saling bergantungan dan memerlukan antara satu sama lain.
Hal ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh at-Tobarani:
Daripada Anas r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Seorang hamba tidak sampai kepada hakikat iman sehingga ia dapat menyimpan lidahnya.” Maksudnya menahan lidah daripada percakapan yang tidak ada kebaikan.
BERBICARALAH YANG BAIK ATAU DIAM
Justeru, sebagai seorang yang berstatus muslim, alangkah baiknya jika tutur kata dan buah bicaranya berlapikkan akhlaq Islami. Tidak rugi sesen pun wang ringgit, malah pahala pula yang diperolehi. Jika tidak, maka disyorkan agar berdiam diri saja. Dibimbangi jika kata-kata terpalit unsur-unsur tidak sihat. Lantas menatijahkan berlaku perselisihan antara satu sama lain. Sudahlah beroleh dosa, bertambah pula musuh tak semena-mena.
Ingat, di sebelah kita telah siap siaga pencatit amal baik dan dosa sejak azali lagi!
“Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazakannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Qaaf: 18)
Mahu melontar idea, dipersilakan – asalkan ia membawa manfaat kepada umum dan mampu menambah kredit kepada agama Islam khususnya, tidak ada siapapun melarang. Akan tetapi jangan ditinggalkan medium BERFIKIR. Berfikirlah beberapa saat sebelum berkata-kata, kerana terkadang idea yang mahu dikeluarkan sudah dikira bernas, cuma penyampaiannya agak menyimpang.
Bila keadaan itu berlaku, sudah tentu idea bernas itu sukar untuk disampaikan kepada audiens.
Daripada Abu Hurairah r.a, baginda Nabi SAW bersabda: “Seorang hamba berbicara dengan satu kalimah yang diredhai oleh Allah SWT dan dianggap remeh. Allah akan mengangkatnya dengan perkataan itu beberapa darjat. Dan seorang hamba berbicara dengan kalimah yang dianggap remeh yang dimurkai oleh Allah SWT, Allah SWT akan mencampakkan hamba ini ke neraka jahannam.” (Hadis riwayat Imam Bukhari)
BERCAKAP BILA PERLU
Terkadang ada juga jenis manusia yang terlebih pendiam, yakni segan untuk berkata-kata hatta demi menegakkan sebuah kebenaran. Dan perilaku sebegini tidaklah dituntut oleh Islam, kerana Islam menyarankan umatnya agar tidak berdiam diri apabila terlihat kemungkaran di depan mata.
Sesungguhnya, wajib bagi muslim untuk menegur perbuatan mungkar agar kesinambungan slogan ‘Amar Makruf Nahi Mungkar’ senantiasa terlaksana. Barangsiapa yang berdiam diri, (Baca: Tidak berbuat apa-apa walaupun membencinya dengan hati) nescaya ia dianggap bersekongkol dengan maksiat dan beroleh dosa. Moga-moga sifat ‘Syaitan Bisu’ ini tidak ada walaupun sebesar zarah pada nubari kita. Nauzubillahhi minzalik.
Akhirnya, mari kita perhatikan perca mutiara hikmah Saidina Umar r.a. Katanya:
“Sesiapa yang banyak percakapannya, maka banyaklah salahnya, maka banyaklah dosanya dan orang yang banyak dosanya, maka neraka adalah lebih layak baginya.”
Astaghfirullahhal ‘Azim.